...Bahagia Bersama...

Bagaia Bersama

Thursday, August 12, 2010

TokWan, Hussain Mohamed

saLam,

sekadar makluman,

Malam tadi, 1030pm tokwan ana, Hussain Mohamed dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Atas sebab kaki sebelah kiri tiba-tiba tak berfungsi dan beliau jatuh di dapur selepas berbuka puasa.
Ketika kami sampai, tokwan kata tangan kiri juga macam tak ada apa-apa.

Tidak mahu kejadian lama berulang, kami bergegas membawa tokwan ke Hospital Seberang Jaya.
Doktor yg bertugas telah periksa, paras gula adalah 143 dan BP pada tahap 137/83.
Tokwan ana terpaksa ditahan wad untuk pemeriksaan lanjut (scanning etc).

Sekarang berada di Wad 5, Hospital Seberang Jaya.
Minta para sahabat sekalian mendoakan yang terbaik buat beliau.
Moga Allah permudahkan urusan bersama di bulan yang penuh barokah ini.

*updated, jam 1.30pm tadi - TokWan dalam proses ditukarkan ke Kelas 2, Wad 5;
Dan, TokWan dipastikan menghidap Strok (Minor).
*Tokwan ana, Hussain Mohamed adalah suami kepada arwah nenda ana yang baru meninggal pada 4/8/'10 yang lalu.

Tazkirah Ramadhan - drpd akh. Zulkarnain

Assalamulaikum warahmatullah,

Saudaraku yang dikasihi, Marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah swt, kerana kita masih diberi kesempatan untuk bertemu kembali dengan bulan yang penuh barakah, Bulan yang padanya diturunkan Al Quran, bulan yang padanya terdapat Lailatulqadar iaitu bulan yang lebih baik dari seribu bulan, bulan rahmat dan bulan bagi mendapat maghfirah dari Allah swt serta bulan yang setiap amalan akan digandakan sehingga berlipat kali ganda. Lihatlah saudaraku betapa Allah yang Maha Pemurah, Maha Pengasih dan Maha Penyayang bersifat Maha Pemberi. Memberikan kurnia kepada umat Junjungan besar Nabi Muhammad saw yang tidak diperolehi oleh umat-umat nabi lain. Alangkah bertuahnya kita dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad. Kami bersyukur pada-Mu ya Allah.

Alhamdulillah, 1 Ramadhan telah berlalu. Marilah kita bermuhasabah sejenak bagi merenung kembali adakah kita telah berjaya mengawal setiap anggota pancaindera kita untuk turut berpuasa iaitu menahan anggota zahir dari melakukan sesuatu yang akan merosakkan pahala puasa kita. 3 anggota zahir yang sering membuat kita tewas didalam mengharungi ibadah puasa kita iaitu mata, telinga dan lidah.
Ketahuilah wahai saudaraku bahawa yang paling bahaya antara ketiga-tiga anggota badan di atas, anggota lidah adalah yang paling bahaya.

Adakah kita telah berjaya menahan mata kita dari melihat perkara-perkara yang haram, adakah telinga kita telah menahan dari mendengar perkara-perkara dusta, fitnah, umpat, nista atau perkara-perkara yang akan merosakan ibadah puasa kita? Adakah kita telah berjaya menhan lidah kita dari berkata-kata pada perkara yang sia-sia? Apatah lagi sekiranya perkataan itu merupakan umpatan, keji, penghinaan atau fitnah? Ingatlah wahai saudaraku bahawa antara 3 anggota tersebut, bahaya lidah adalah yang paling perlu ditakuti kerana ia akan membawa kebinasaan pada semua amalan kita. Dalam sebuah hadis, diriwayatkan tentang seorang wanita yang sering berpuasa disiang hari, bertahajud dimalam hari, tetapi tidak menjaga lidahnya hingga membuatkan jirannya tidak aman akibat lidahnya. Sahabat telah bertanyakan pada Baginda tentang keadaan wanita itu. Lalu Rasulullah saw berkata, bahawa wanita seperti itu tempatnya adalah neraka. Na`uzubillah… Lihatlah saudaraku, betapa amalan yang banyak dilakukan, masih mampu menghumbankan kita kedalam api neraka jahanam, oleh kerana kita tidak mampu menahan lidah kita dari umpat keji yang membuatkan samada kawan, saudara atau jiran kita tidak aman dengan kita.
Dan jagalah anggota batin, yakni hati yang banyak melahirkan suu’ zhon yang juga akan membinasakan amalan kita. Hati adalah ibarat raja bagi anggota badan kita. Hati adalah punca samada jasad kita menjadi baik atau sebaliknya.

Cuba fikirkan sejenak, adakah puasa kita lebih baik dari Ramadhan yang lalu? Marilah kita berusaha untuk memperbaiki kedudukan amalan kita di sisi Allah swt. Apajua tugas yang kita lakukan, kita mesti ingat bahawa misi kita didunia ialah menjadi HAMBA ALLAH dan visi kita ialah menuju MARDHATILLAH seterusnya ke SYURGA ALLAH. Kalau kita hamba Allah, kita tahu setiap gerak geri kita Allah perhatikan, dan malaikat kiraman katibin sentiasa di sisi kita mencatatkan setiap perbuatan kita. Kalau kita menipu, malaikat akan catatkan; kalau curi tulang, malaikat akan catatkan; kerja dengan baik juga malaikat akan catatkan, tolong orang, malaikat akan catatkan, permudahkan urusan orang lain juga malaikat akan catatkan, pendek kata tidak terlepas dari setiap perbuatan kita, akan dicatat walaupun sebesar zarah dan akan dipamirkan di hari pembalasan nanti. Sengaja saya nukilkan perbuatan-perbuatan itu kerana saya juga tidak terlepas dari perkara tersebut supaya menimbulkan rasa terkesan di hati dan menimbulkan kegerunan pembalasan Allah dihari Akhirat nanti.

Dari Kaab bin Ujrah ra beliau berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda , “Hadirlah ke mimbar!” Maka kami pun telah hadir. Apabila baginda naik satu anak tangga mimbar, Baginda berkata “amin” dan apabila baginda naik ke tangga yang kedua, Baginda berkata “amin” dan apabila naik anak tangga yang ketiga Baginda berkata “amin”.
Apabila baginda turun, kami telah bertanya, ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami mendengar daripada-mu sesuatu yang belum pernah kami dengar”. Baginda bersabda “Sesungguhnya Jibrail as telah muncul kepada ku dan berkata “binasalah seseorang yang didatangi Ramadhan tetapi belum juga diampunkan”.; “Maka aku berkata “amin”. Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata “binasalah seseorang yang apabila nama engkau disebutkan kepadanya, tidak pula dia menselawatimu’. Aku juga berkata ‘amin” dan apabila aku naik anak tangga yang ke tiga dia berkata ‘binasalah seseorang yang mendapati kedua-dua ibubapanya atau salah seorang daripadanya telah tua tetapi mereka tidak menjadikan sebab untuk dia masuk ke dalam syurga.’ Aku berkata “amin”
Dari hadis di atas Jibrail telah memohon doa (kebinasaan) dan Rasulullah mengaminkan ketiga-tiga doa tersebut. Apa kurangnya doa dari Jibrail as? Dia adalah malaikat yang hampir dengan Allah ditambahi dengan amin dari Rasulullah yang menjadikan doa itu bertambah makbul. Semoga kita memohon kekuatan dari Allah untuk menghindarkan kita dari tergolong dalam golongan yang didoakan oleh malaikat Jibril. Sempena bulan Ramadhan al Mubarak, perbanyakkanlah mohon syurga Allah dan dijauhkan dari neraka Allah. Perbanyakkakan selawat ke atas junjungan besar saw, serta berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa samada masih hidup ataupun telah kembali ke rahmatullah dengan mendoakan kesejahteraan roh mereka di alam barzakh.
Moga ada sedikit manfaatnya. Syukur pada Allah kerana memberi keizinan kepada saya untuk menghentak jari di keyboard ini bagi menyampaikan sedikit dari jutaan pesan Rasul saw kita. Sabda nabi, sampaikanlah dari ku walaupun satu ayat. Wallahu a’lam.

Salam Ramadahan Al Kareem…………….za

Monday, August 9, 2010

Tropical Herbs - Set Bersalin

a. Lengkap Dengan 10 Produk Campuran Herba, Dirumus Khas Untuk Menguat Dan Mengukuhkan Dalaman Tubuh Badan Serta Mempercepatkan Proses Penyembuhan Bagi Ibu-Ibu Lepas Bersalin.

b. Dirumus daripada rumusan tropika yang mengandungi herba-herba yang telah diguna secara tradisional oleh orang Cina, India, dan Islam untuk membantu pemulihan ibu baru semasa dalam tempoh berpantang.

c. Cara penggunaan sangat mudah dan proses persediaannya pula tidaklah rumit dan leceh. Ini kerana semua produk telah disukat terlebih dahulu dan sedia digunapakai dengan hanya memerlukan proses penyediaan yang minimum.

d. Boleh juga digunakan oleh ibu-ibu yang bersalin melalui cara pembedahan (caesarean), iaitu selepas sebulan kelahiran.

Kelebihannya:
√ Lengkap dan mudah. Segala yang anda perlukan terdapat di dalam dalam set ini. Penyediaan yang minimum diperlukan kerana semua produk ini telah disukat terlebih dahulu. Jadi ia hanya siap sedia diguna tanpa susah payah.

√ Terbukti Keberkesanannya. Herba-herba yang diguna telah diuji sejak turun temurun dan terbukti secara saintifik.

√ Herba-herba yang piawai. Bahan yang digunakan adalah ekstrak daripada bahan aktif herba yang dipiawaikan (standardised) untuk kualiti dan konsistensi rumusan.

√ Ramuan semulajadi. Tiada pewarna dan perasa tiruan atau bahan pengawet yang digunakan.

√ Kapsul sayuran. Minyak yang diguna adalah berasaskan tumbuhan. Produk ini sesuai untuk mereka yang vegetarian dan mereka yang mempunyai larangan agama.

√ Pengilang herba bertauliah. Dengan pengalaman bertahun-tahun di bidang pengeluaran produk berasaskan herba, syarikat ini memenuhi kriteria Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK/DCA) untuk Amalan Pengilangan yang Baik (GMP).

Kandungan dalam set ini:
Ia terbahagi kepada 2 bahagian:

1. Untuk dimakan:
• Teh Herba
• Kapsul Lepas Bersalin 1
• Kapsul Lepas Bersalin 2

2. Untuk kegunaan luaran:
• Herba Pembersih Wanita
• Herba Mandian
• Minyak Urut Herba
• Minyak Bayi
• Campuran Peramping Perut
• Campuran Penghangat Badan
• Campuran Penenang

Percuma, Bengkung!
Dengan pembelian set bersalin ini, anda akan diberikan satu set bengkung secara percuma.

Retail RM293.00 / set

(Hubungi 019-541 7821)


Friday, August 6, 2010

Pemergian Nenda tersayang - 4 Ogos 2010

saLam,
Adakah khayalan atau fantasi pabila menerima call drpd Paksu Ded seusai solat Zuhur? "aLong, tokzah dah meninggal.". Aku bertanya,"betul ke?". "Betul, baru 5 minit tadi." Diriku lemah sebentar. Tak sangka, ziarah ku bersama isteri dan baby 'uZma jam 6pm kelmarin dan call drpd Paksu pada jam 3.30am (4/8) adalah sentuhan terakhir yang dapat ku lakukan. Pada awal pagi itu, keadaan arwah Tok nazak. Kesian kami (aku, angah Mat, Achik Mus, Acu Hasan dan PakLang Awang) melihatnya. Kami berterusan membacakan surah Yasin dan beberapa surah berkaitan. Tangan arwah Tok dah sejuk sangat pabila kami pinta diri beransur pulang untuk bekerja. Ku cium pipi dan dahi arwah Tok tika itu. Mataku bergenang dan tak ku sangka itulah yang terakhir dariku.
4 Ogos (135pm)-aku bergegas meminta PakLang Awang (anak kedua arwah Tok) bersiap untuk ke hospital. Ku tidak sampai hati hendak memberitahu hal yang sebenar. Selepas semuanya siap, aku bergegas ke tempat kerja isteri untuk membawanya bersama. Sepanjang perjalanan, ku mengingatkan pada PakLang agar berterusan membaca doa untuk arwah Tok. Sampai sahaja di Masjid Tanah Liat, ku terpaksa 'menukar' PakLang pada Maksu Khairul untuk dibawa pulang kerna ibu ku meminta demikian atas sebab biar tunggu di rumah. Aku bergegas ke hospital kerna aku dimaklumkan yang arwah Tok dah dibawa untuk dimandikan.
Sesampai sahaja, aku bergeas ke Bilik Mayat, Hospital B.Mertajam. Pakcik Hashimi dan keluarga serta jiran arwah Tok dah ada. 15 minit kemudian, 2 orang staf wanita sampai dan bersedia membuat urusan ke atas jasad arwah Tok. Antara yang hadir tika urusan memandikan adalah TokLang Yam, Ibuku, Abahku, Makcik Ina, Paksu Ded, aku, isteriku, adikku Hasan dan seorang kenalan wanita arwah Tok. Kami menyaksikan dari awal hingga selesai. Lebih kurang jam 4pm, semuanya selesai. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dengan kepakaran yang ada pada 2 orang staf tersebut. Terima kasih banyak2 diucapkan. Moga Allah jua membalas jasa kalian.
Ku membantu dalam mengangkat jasad arwah ke dalam keranda dan terus dimasukkan ke dalam van untuk dibawa ke rumah arwah di Permatang Pasir, bersebelahan Klinik Desa. Ku dan isteri bergegas pulang kerna belum makan, bersiap dan mengambil anak pada pengasuh. Sesampainya di rumah Tok (530pm), dah ramai hadirin yang datang. Ku terus menyiapkan air untuk tetamu yang hadir. Ku dimaklumkan yang jenazah
Tok akan disembahyangkan seusai solat Maghrib dan akan disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Permatang Pasir. Dan, yang menyentuh hati, jenazah Tok akan disemadikan bersebelahan jenazah arwah Baba (suami kepada Tok). Tepat jam 7.10pm, jasad Tok diusung ke Masjid. Ku mengambil tempat dari awal hingga ke masjid. Sepanjang perjalanan, hatiku tersentuh. Sepanjang pengalaman bersama arwah Tok, hanya Allah yang mengetahui perasaan sebegini. Ya Allah, sesungguhnya Engkau lebih berkuas atas sesuatu.
Ramai yang hadir untuk solat Maghrib berjemaah dan sebaik imam habis membaca doa, ku meluru bagi membantu mengangkat pengusung ke ruang solat. Di situ, kami menunaikan solat Jenazah dan ku mengambil tempat di saf hadapan. Solat diimamkan oleh Paksu Ded. Seusai solat, ku mengambil tempat untuk mengusung ke tanah perkuburan. Tazkirah dibacakan oleh Paksu seusai menanam jenazah. Lebih kurang pukul 8.30pm, semuanya selesai. Kami membuat sentuhan terakhir ke atas tanah tempat arwah Tok Zah disemadikan. Moga dengan pemergian Nenda Azizah bt. Wan Esah dicucuri rahmat dan dimudahkan dalam segala urusan di alam kubur. Ameen, ya Rabb~
Ya Allah, sesungguhnya Engkau lebih mengetahui akan sesuatu. Moga dengan segala kehendak serta takdir daripada-Mu membuatkan kami lebih tabah dan bersedia menghadapi segala kemungkinan.
*Antara sahabat yang hadir yang sempat bertemu adalah Ustaz Rozee sekeluarga, Harryzan dan isteri serta Amir Effendi. Sahabat kepada abahku ramai juga yang hadir.

Nukilan berkenaan arwah nenda ku juga dapat dibaca di blog adik ku, Nurul Aiman di ->Nenda Azizah

Al-Fatihah buar arwah Tok. Moga Allah bersama dalam tiap urusan dan ditempatkan di kalangan para syuhada', insya-ALLAH~