Kenyataan Media
Unit Belia Jawatankuasa Pemuda
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
12 Mei 2011
BELIA TONGGAK PERUBAHAN
Bersempena dengan Hari Belia 2011, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru agar reformasi dan pengupayaan belia secara menyeluruh dilaksanakan. Kita menyarankan agar langkah ini bermula dari belia itu sendiri, masyarakat, sektor swasta dan seterusnya kerajaan.
Hari ini, pelbagai kemelut melanda masyarakat khususnya golongan belia. Keadaan ini menggambarkan golongan belia seolah-olah tidak bersedia untuk memimpin dan menerajui negara pada masa hadapan.
Satu statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menunjukkan, jumlah belia yang layak mengundi ialah 7.9 juta orang. Namun, jumlah belia yang mendaftar dengan SPR hanyalah sekitar 4.17 juta orang sahaja. Hal ini bermakna 47 peratus belia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi.
Berdasarkan statistik tersebut, hampir separuh daripada golongan belia tidak mengambil endah dan enggan terlibat dalam proses demokrasi. Kerajaan yang akan terpilih pula bukanlah mendapat mandat sebenar rakyat, apabila sebilangan besar rakyat khususnya belia, tidak melibatkan diri dalam kepimpinan masyarakat dan proses pemilihan kepimpinan.
Selain itu, masyarakat kini semakin dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi, sehingga menyebabkan mereka, khususnya golongan belia yang baru memulakan kehidupan terpaksa berhutang demi memenuhi keperluan asas seperti rumah dan kenderaan. Kemelut ini tambah merumitkan apabila golongan belia turut dilalaikan dengan hiburan yang melampau dan membawa minda mereka jauh daripada memikirkan perkara-perkara serius dan isu yang lebih mendasar.
Akibat bebanan hidup, hutang isi rumah yang tinggi dan kelekaan hiburan yang berlebihan, akhirnya masyarakat dan golongan belia khususnya akan menjadi masyarakat yang individualistik dan tidak lagi berpegang kepada nilai-nilai Islam dan moral. Sebagai contoh, kesannya dapat dilihat melalui gejala pembuangan bayi, kelahiran anak yang tidak sah taraf, yang kini menjangkau ratusan ribu. Begitu juga gejala dadah, jenayah dan mungkar yang pastinya, sebilangan besar melibatkan golongan belia.
Justeru, IKRAM menyeru agar:
1. Belia-belia di negara ini mula bangkit melakukan perubahan diri, mendekatkan diri kepada Allah dengan penuh keikhlasan, bersegera mendalami ilmu-ilmu yang bermanfaat, mempunyai tasawwur islami yang jelas, beriltizam dengan amal kebajikan seterusnya terlibat bersama masyarakat serta memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat.
2. Masyarakat dan institusinya memberikan ruang dan kepercayaan kepada belia untuk terlibat sama dalam kepimpinan serta aktiviti yang positif, dan perlu bersifat mesra kepada golongan muda, belia dan remaja.
3. Sektor swasta lebih komited dengan isu pembangunan jati diri belia. Sektor swasta turut disaran agar tidak menggadaikan masa depan negara, dengan mengeksploitasi golongan muda dengan budaya yang menggalakkan perzinaan, perjudian dan yang merosakkan, yang mana ia bukan dari ajaran Islam atau mana-mana agama lain.
4. Kerajaan memberikan pengupayaan kepada belia, dengan menerapkan nilai yang sihat dalam ekonomi. Antara isu utama dalam ekonomi Malaysia adalah monopoli syarikat gergasi. Hal ini perlu ditangani sebaiknya, supaya lebih banyak perniagaan dapat disuburkan, dan lebih banyak peluang pekerjaan dapat disediakan untuk belia yang baru memulakan kehidupan. Kerajaan, dengan kuasa yang ada juga, mampu menggesa institusi perbankan dan institusi pembangunan usahawan memberikan sedikit kelonggaran serta komitmen yang tinggi dalam membantu usahawan muda, agar lebih ramai lagi golongan belia dapat berdikari dan menyumbang kepada ekonomi negara.
5. Kerajaan menerusi institusi-institusi yang ada mengawal hiburan yang melampau yang berunsur tahyul, lucah dan anti-agama, yang menghakis nilai dan jati diri belia, supaya belia hari ini dapat diupayakan sebagai pemimpin masa depan, dan membawa perubahan kepada negara ke arah yang lebih gemilang.
Norazmi Mat Noh
Pengerusi Unit Belia
Jawatankuasa Pemuda IKRAM Pusat
No comments:
Post a Comment