Assalamulaikum warahmatullah,
Saudaraku yang dikasihi, Marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah swt, kerana kita masih diberi kesempatan untuk bertemu kembali dengan bulan yang penuh barakah, Bulan yang padanya diturunkan Al Quran, bulan yang padanya terdapat Lailatulqadar iaitu bulan yang lebih baik dari seribu bulan, bulan rahmat dan bulan bagi mendapat maghfirah dari Allah swt serta bulan yang setiap amalan akan digandakan sehingga berlipat kali ganda. Lihatlah saudaraku betapa Allah yang Maha Pemurah, Maha Pengasih dan Maha Penyayang bersifat Maha Pemberi. Memberikan kurnia kepada umat Junjungan besar Nabi Muhammad saw yang tidak diperolehi oleh umat-umat nabi lain. Alangkah bertuahnya kita dilahirkan sebagai umat Nabi Muhammad. Kami bersyukur pada-Mu ya Allah.
Alhamdulillah, 1 Ramadhan telah berlalu. Marilah kita bermuhasabah sejenak bagi merenung kembali adakah kita telah berjaya mengawal setiap anggota pancaindera kita untuk turut berpuasa iaitu menahan anggota zahir dari melakukan sesuatu yang akan merosakkan pahala puasa kita. 3 anggota zahir yang sering membuat kita tewas didalam mengharungi ibadah puasa kita iaitu mata, telinga dan lidah.
Ketahuilah wahai saudaraku bahawa yang paling bahaya antara ketiga-tiga anggota badan di atas, anggota lidah adalah yang paling bahaya.
Adakah kita telah berjaya menahan mata kita dari melihat perkara-perkara yang haram, adakah telinga kita telah menahan dari mendengar perkara-perkara dusta, fitnah, umpat, nista atau perkara-perkara yang akan merosakan ibadah puasa kita? Adakah kita telah berjaya menhan lidah kita dari berkata-kata pada perkara yang sia-sia? Apatah lagi sekiranya perkataan itu merupakan umpatan, keji, penghinaan atau fitnah? Ingatlah wahai saudaraku bahawa antara 3 anggota tersebut, bahaya lidah adalah yang paling perlu ditakuti kerana ia akan membawa kebinasaan pada semua amalan kita. Dalam sebuah hadis, diriwayatkan tentang seorang wanita yang sering berpuasa disiang hari, bertahajud dimalam hari, tetapi tidak menjaga lidahnya hingga membuatkan jirannya tidak aman akibat lidahnya. Sahabat telah bertanyakan pada Baginda tentang keadaan wanita itu. Lalu Rasulullah saw berkata, bahawa wanita seperti itu tempatnya adalah neraka. Na`uzubillah… Lihatlah saudaraku, betapa amalan yang banyak dilakukan, masih mampu menghumbankan kita kedalam api neraka jahanam, oleh kerana kita tidak mampu menahan lidah kita dari umpat keji yang membuatkan samada kawan, saudara atau jiran kita tidak aman dengan kita.
Dan jagalah anggota batin, yakni hati yang banyak melahirkan suu’ zhon yang juga akan membinasakan amalan kita. Hati adalah ibarat raja bagi anggota badan kita. Hati adalah punca samada jasad kita menjadi baik atau sebaliknya.
Cuba fikirkan sejenak, adakah puasa kita lebih baik dari Ramadhan yang lalu? Marilah kita berusaha untuk memperbaiki kedudukan amalan kita di sisi Allah swt. Apajua tugas yang kita lakukan, kita mesti ingat bahawa misi kita didunia ialah menjadi HAMBA ALLAH dan visi kita ialah menuju MARDHATILLAH seterusnya ke SYURGA ALLAH. Kalau kita hamba Allah, kita tahu setiap gerak geri kita Allah perhatikan, dan malaikat kiraman katibin sentiasa di sisi kita mencatatkan setiap perbuatan kita. Kalau kita menipu, malaikat akan catatkan; kalau curi tulang, malaikat akan catatkan; kerja dengan baik juga malaikat akan catatkan, tolong orang, malaikat akan catatkan, permudahkan urusan orang lain juga malaikat akan catatkan, pendek kata tidak terlepas dari setiap perbuatan kita, akan dicatat walaupun sebesar zarah dan akan dipamirkan di hari pembalasan nanti. Sengaja saya nukilkan perbuatan-perbuatan itu kerana saya juga tidak terlepas dari perkara tersebut supaya menimbulkan rasa terkesan di hati dan menimbulkan kegerunan pembalasan Allah dihari Akhirat nanti.
Dari Kaab bin Ujrah ra beliau berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda , “Hadirlah ke mimbar!” Maka kami pun telah hadir. Apabila baginda naik satu anak tangga mimbar, Baginda berkata “amin” dan apabila baginda naik ke tangga yang kedua, Baginda berkata “amin” dan apabila naik anak tangga yang ketiga Baginda berkata “amin”.
Apabila baginda turun, kami telah bertanya, ya Rasulullah! Hari ini sesungguhnya kami mendengar daripada-mu sesuatu yang belum pernah kami dengar”. Baginda bersabda “Sesungguhnya Jibrail as telah muncul kepada ku dan berkata “binasalah seseorang yang didatangi Ramadhan tetapi belum juga diampunkan”.; “Maka aku berkata “amin”. Apabila aku naik anak tangga yang kedua dia berkata “binasalah seseorang yang apabila nama engkau disebutkan kepadanya, tidak pula dia menselawatimu’. Aku juga berkata ‘amin” dan apabila aku naik anak tangga yang ke tiga dia berkata ‘binasalah seseorang yang mendapati kedua-dua ibubapanya atau salah seorang daripadanya telah tua tetapi mereka tidak menjadikan sebab untuk dia masuk ke dalam syurga.’ Aku berkata “amin”
Dari hadis di atas Jibrail telah memohon doa (kebinasaan) dan Rasulullah mengaminkan ketiga-tiga doa tersebut. Apa kurangnya doa dari Jibrail as? Dia adalah malaikat yang hampir dengan Allah ditambahi dengan amin dari Rasulullah yang menjadikan doa itu bertambah makbul. Semoga kita memohon kekuatan dari Allah untuk menghindarkan kita dari tergolong dalam golongan yang didoakan oleh malaikat Jibril. Sempena bulan Ramadhan al Mubarak, perbanyakkanlah mohon syurga Allah dan dijauhkan dari neraka Allah. Perbanyakkakan selawat ke atas junjungan besar saw, serta berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa samada masih hidup ataupun telah kembali ke rahmatullah dengan mendoakan kesejahteraan roh mereka di alam barzakh.
Moga ada sedikit manfaatnya. Syukur pada Allah kerana memberi keizinan kepada saya untuk menghentak jari di keyboard ini bagi menyampaikan sedikit dari jutaan pesan Rasul saw kita. Sabda nabi, sampaikanlah dari ku walaupun satu ayat. Wallahu a’lam.
Salam Ramadahan Al Kareem…………….za
No comments:
Post a Comment