...Bahagia Bersama...

Bagaia Bersama

Tuesday, November 24, 2009

Tulang rusuk dijumpai~

Tanggal 31 Mei 2009 merupakan hari yang amat bahagia dan paling bermakna dalam hidupku. Statusku berubah dan tanggungjawabku juga bertambah. Dahulu aku hanya perlu memikirkan makan-minum ku seorang saja. Sekarang tidak lagi. Aku perlu memikirkan bersama keperluan hidup insan yang istimewa yang telah berjaya mencuri hatiku. Dialah yang bernama SITI JULIANA NA’AIM BT. ABDUL RAHMAN yang telah berjaya mencuri hatiku. Agak panjang nama yang diberikan sehingga kan tika praktis untuk akad nikah depan Tok Kadi, hampir terkelu lidahku untuk menyebut namanya. Tapi, alhamdulillah dengan izin dari-Nya lafaz akad telah berjaya disempurnakan bersaksikan hadirin yang hadir memberi sokongan di Masjid Jawi tepat jam 2.15 petang. Antara yang hadir adalah keluargaku sendiri, keluarga PakTeh, Mak Ngah & Kak Long, keluarga Pak Lang dan Bro Kamal dari Soon Soon. Satu-satunya rakan dari kilang tempat aku bekerja yang hadir. Terima kasih banyak2..

Sebenarnya, sejak di awal pagi dah bermacam-macam imej yang terbayang. Yela, nak akad nikah tu. Bukan boleh buat main. Dah la member kat kilang dok 'perangat' itu dan ini. Ada yang tak lalu makan apa, ada yang berlatih lafaz akad, macam-macam ragam la. Boleh pula pada hari yang sama, Pilihan Raya Kecil Penanti diadakan. Sebagai anak jati DUN Penanti, terpaksa la pi mengundi dulu. Asmaa’(adik no.3 yang bergelar kakak) turut sama menjalankan tanggungjawab. Tepat 10.30 pagi, kami selesai melaksanakan tanggungjawab terhadap pimpinan akan datang. Undi adalah rahsia, hehe..

Sampai di rumah, Abah nak test power lafaz akad face-to-face. Aku pun selamba je la lafaz tanpa ada rasa risau atau gundah-gulana. Abah ku kata OK tapi kena bagi tegas sikit, tunjukkan yang kita ni anak jantan. Fuh, boleh tahan. Lepas tu dengan Ummi pula. Sekali lagi Allah mudahkan urusan dengan lancar lidah ku melafazkannya. Alhamdulillah….

Tepat 12.00 tengahari, kami bertolak ke Masjid Jawi. Masjid yang bakal menyaksikan satu lagi pasangan diijabkabul. Dalam perjalanan, aku tak banyak bercakap. Ikut petua tok guru dan orang lama. Takut bila banyak cakap nanti depan tok kadi terkedu x terkata pula nanti. Sampai sahaja, aku terus memasuki ruang solat dan menunaikan solat tahiyatul-masjid dan solat hajat agar dipermudahkan urusan tika majlis akad nanti. Jam baru menunjukkan 12.45 tengahari. Terasa begitu lama sekali masa bergerak. Mulutku terus terkumat-kamit membaca beberapa surah sebagai kekuatan diri dan kelancaran lidah. Tepat 1.20 petang, bilal melaungkan azan Zohor. Semakin berdebar menantikan, diriku terus berdoa pada Yang Maha Kuasa agar dilancarkan segalanya. Selesai solat Zohor berjemaah, kesempatan yang ada diambil dengan mengasingkan diri sebentar bagi betul-betul mengharapkan agar Allah memudahkan urusan serta melancarkan lidah tika akad nanti. Amin ya Robbal Alamin….

Masuk bab tika majlis akad pula. Tempat diambil berhadapan Tok Kadi tapi agak jauh kerna nak ambil angin. Dikhabarkan ada satu lagi pasangan tapi dekat 10 minit berlalu, tak nampak batang hidung pun. Tepat jam 2.15 petang, tok kadi meminta aku mendekatinya. Aku pun merapati tetapi masih duduk seperti tahiyyat awal. Tok kadi selamba je berkata, “tak lenguh ke kaki tu? Duduk la bersila, satgi krem susah pula.” Adoi, macam tu pula. Duduk la bersila. Diri dah terasa bahang, dok nampak tok kadi sorang ja. Tok kadi pinta baca istighfar. Ok, lepas. Siap berlagu lagi. Lepas tu, mengucap dua kalimah syahadah. Lepas dan berlagu juga. Dan, akhirnya dipinta untuk melafazkan lafaz akad. Dengan kekuatan yang ada seolah-seolah seperti yang sebenar, mulutku terus lancar melafazkan “AKU TERIMA NIKAHNYA SITI JULIANA NA’AIM BT. ABDUL RAHMAN DENGAN MAS KAHWINNYA ??? TUNAI”. Fuh, lega sat. Tapi sangkut tang nak sebut nama bakal isteriku pula. Tok kadi kata ok Cuma kena berhat-hati sebut dengan jelas.

Rapp, tanganku digenggam seperti bersalaman. Tok kadi meminta aku bersedia dan meminta aku berkata YA jika nama aku disebut. Tok kadi melafazkan “UMAR AL-MUKHTAR B. ISMAIL” dan disambut dengan YA olehku; AKU NIKAHKAN AKAN DIKAU DENGAN SITI JULIANA NA’AIM BT. ABDUL RAHMAN DENGAN MAS KAHWINNYA ??? TUNAI”. Tanganku dihenyak dan dengan yakin diriku membalas, “AKU TERIMA NIKAHNYA SITI JULIANA NA’AIM BT. ABDUL RAHMAN DENGAN MAS KAHWINNYA ??? TUNAI”. Fuh, mataku difokuskan terus pada tok kadi. Tok kadi beralih pada dua orang saksi di kiri dan kanan beliau dan terus mengangguk padaku. Betapa leganya, terbukanya dan terasa bebanan dah jatuh sebentar ke tepi tika itu. Tok kadi terus membaca doa dan aku begitu bersyukur. Tika itu jua air mataku mengalir. Terus aku mengesatnya. Terima kasih, Ya Allah. Terima kasih.

Aku terus melaksanakan urusan lafaz taqlid dan menurunkan tandatangan. Tok kadi sempat bertanya, “hang faham ka apa yang tertulis tu?”. Aku menjawab ya. Bertanya lagi tok kadi, “apa yang hang faham?”. Aku menjawab jika buat itu dan ini maka jatuh lah talak. Na’uzubillah. Tok kadi geleng kepala. “bukan macam tu, bila hang buat itu dan ini dan si isteri pi mengadu kt mana-mana pejabat agama dan disahkan pula, baru la jatuh. Faham.?”. aku tersimpul malu. Tapi, semua itu aku ambil iktibar dan genggam erat-seeratnya agar dijauhkan segala fikiran carca-marba. Tok kadi berkata,”ok, dah selesai semuanya. Jaga isteri hang baik-baik”. Aku terus bersalaman dengannya dan dua orang saksi. Aku berpaling ke belakang, terus bersalaman pada Abah ku yang setia di belakang ku sejak awal tadi dan juga Paksu Mahadzir di sampingnya sebagai back-up dari gangguan luar.

Aku terus bangun dan melakukan solat sunat. Asalnya nak buat sujud syukur saja tapi entah kenapa jadi solat pula. Selesai sahaja, abah ku meminta untuk berhadapan dengan wanita yang telah sah menjadi isteriku sebentar tadi. Dirinya tertunduk sementara menanti kehadiranku. Sebaik aku duduk seperti tahiyyat awal, tanganku disalam dan dicium. Cincin diserahkan, aku terus memegang jari isteriku untuk disarungkan cincin. Tika itu, aku melihat air matanya mengalir. Tersentuh hatiku. Akhirnya, aku memilikimu dengan izin dari Yang Maha Kuasa. Jariku pula disarungkan cincin perak yang memang dirancang dari awal untuk kami bertukar cincin. Lampu kamera tak putus-putus berkelip tika upacara itu berlangsung. Aku mencium dahinya dan selesai upacara yang masyarakat kita kata Upacara Membatalkan Air Sembahyang. Wallahu’alam.

Pak Mentuaku, Abdul Rahman menjemput semua yang hadir ke rumahnya untuk makan tengahari. Aku terus mencari Bro Kamal tapi tak kelihatan. Handphone ku pula ada dalam kereta. Aduh, mana pula ni? Aku meminjam handphone isteriku dan cuba menelefonnya. Bro Kamal menjawab dia dah on the way balik. Ada hal, kena ke Penang. Aku pun berterima kasih banyak-banyak padanya kerna hadir. Hope dimudahkan segala urusan yang bakal dihadapinya. Maksu kepada isteriku menjemput naik keretanya. Kami pun beriringan ke kereta Vioss milik Maksu. Perjalanan lebih kurang 10 minit dan kami tiba di rumah pak mentuaku. Rasanya ada dekat 5 buah kereta yang mengiringi kami.

Kami dijemput masuk dan dihidang dengan lauk yang semunya asli dari kampung. Sungguh berselera ku lihat keluargaku serta saudaraku menjamu selera. Yela, semua lauk dan ulam-ulaman susah nak cari zaman sekarang ni. Selesai menjamu selera, masing-masing meminta untuk beredar. Kereta yang dipandu sepupuku akan terus balik ke Kuala Lumpur. Yang selebihnya akan balik ke rumah masing-masing di Tasek Gelugor dan Mengkuang. Aku kena stay-back, mungkin esok baru berangkat pulang.

Begitu lah al-kisah sedikit pengalaman sebelum dan selepas bergelar suami. Memang susah nak cari, susah nak beli pengalaman sebegini rupa. Moga hari-hari seterusnya aku terus dikurniakan dan dipermudahkan urusan dalam menghadapi rencah asam garam kehidupan alam berumah-tangga. Ya Rahim, sesungguhnya hamba mu ini amat memerlukan-Mu tiap detik dalam apa jua urusan tika hidup di dunia fana ini...

2 comments:

JIM Seberang Perai Tengah said...

Salam ukhuwwah. Sudah follow blog anda. Harap pautkan blog JIM Seberang Perai Tengah ke blog anda tanda sokongan.

Rajin-rajin kemaskini blog supaya pengunjung anda sentiasa setia dan mendapat manafaat dari penulisan anda.

Unknown said...

saLam,
Insya-Allah..
saya skarang mengalami masalah internet. dh ada internet, blogspot kna block pla..xpe, saya akan cuba update sebaik mungkin.