...Bahagia Bersama...

Bagaia Bersama

Saturday, June 4, 2011

Saman, jangan tak saman..

 
Seorang peniaga menyaman Malayan Banking Berhad (MBB) untuk memohon ganti rugi RM3 juta kerana kecuaian yang mengakibatkan Bank Negara menyenarai hitam beliau sebagai 'pengingkar' sungguhpun beliau sudah menyelesaikan sepenuhnya tunggakan kad kredit.

Musa Bakar Mydinsah, 38, dari Seri Kembangan, memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur hari ini menerusi firma guaman Tetuan AS Dhaliwal. Dalam pernyataan tuntutannya, Musa Bakar menyatakan beliau memperoleh kad kredit MasterCard daripada bank berkenaan pada 2005 dengan had kredit RM4,000. Pada September 2006, beliau menutup akaun itu dengan melunaskan semua baki tertunggak kad berkenaan.

Katanya, bagaimanapun beliau hanya menyedari mengenai senarai hitam itu tiga tahun kemudian, iaitu pada September 2009 apabila permohonannya untuk mendapatkan pinjaman kereta dengan CIMB Bank Berhad ditolak. Musa Bakar berkata apabila beliau memeriksa sekali lagi dengan bank berkenaan dan Bank Negara, beliau dimaklumkan bahawa namanya telah disenarai hitam berkuat kuasa 1 Julai 2008, dua tahun selepas beliau membuat bayaran penuh.

Katanya apabila beliau menyemak semula dengan defendan (Malayan Banking), bank terbabit menegaskan bahawa bayaran yang tidak tepat dibuat pada 2006 dan sebab itulah bank membuat keputusan untuk menyenarai hitam namanya. Plaintif mendakwa bank berkenaan cuai dalam tindakannya di mana semua bank mempunyai akses kepada rekodnya, yang mengakibatkan permohonan beliau untuk mendapatkan pinjaman kereta dan perniagaan ditolak.

Beliau turut menegaskan defendan gagal untuk memaklumkan kepada beliau mengenai tindakan itu dan gagal mengambil semua langkah dalam memastikan plaintif bukanlah seorang ''pengingkar''.

Plaintif berkata peguamnya telah menghantar surat menuntut ganti rugi kepada bank itu pada 9 Okt 2009, tetapi sehingga kini defendan hanya mengambil langkah mengeluarkan namanya daripada senarai hitam, dan plaintif mendakwa tindakan itu sama seperti bank mengakui kesilapannya. Musa Bakar memohon RM1 juta sebagai ganti rugi am dan RM2 juta sebagai ganti rugi teruk serta teladan. Beliau turut memohon kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

No comments: